28 Oktober 2009

Kod Warna Resistor

Nilai resistor dipaparkan menggunakan kod warna. Berikut adalah contoh kod warna dan pengiraannya.

Sehingga kini kod warna ini masih digunakan untuk menunjukkan nilai sesuatu resistor.
Namun begitu, untuk perindustrian, saiz resistor dibuat bergantung kepada kuasa yang digunakan didalam sesuatu litar. Oleh itu resistor berbentuk chip dibuat. Nilai resistor berbentuk chip hanya dipaparkan menggunakan nombor sahaja. Namun cara membaca nilainya adalah sama seperti resistor dengan kod warna cuma hanya tiga nombor diletakkan. Nombor ketiga bertindak sebagai pendarab.

24 Oktober 2009

Perintang / Resistor

Pertama sekali kita akan bincangkan tentang perintang ataupun lebih dikenali sebagai resistor. Apakah resistor dan kegunaannya? Resistor adalah komponen elektronik yang paling utama sekali kerana setiap litar elektronik mesti ada resistor. Apakah fungsi ataupun tugas resistor ini didalam sesuatu litar? Pasti kita pernah diajar ataupun membaca bahawa resistor berfungsi sebagai pembahagi voltan dan arus. Adakah kita betul-betul faham akan fungsi resistor ini sebagai pembahagi voltan dan arus? Mari saya terangkan.

Resistor sebagai pembahagi voltan dan arus

Sebagai contoh, kita mempunyai punca voltan DC 12 volt. Kemudian kita ingin menyalakan lampu LED yang menyala dengan voltan 2 volt. Kita perlu menggunakan resistor untuk membahagikan voltan dan arus kepada LED sebanyak 2 volt. Telah ditetapkan bahawa lampu LED memerlukan arus sebanyak 10 miliamp untuk menyala. Maka nilai resistor yang diperlukan perlu dikira seperti berikut, 12 volt tolak 2 volt dapat 10 volt. Kemudian 10 volt dibahagi dengan arus 10 miliamp, kita dapat 1 kilo ohm. Jadi kita memerlukan resistor bernilai 1 kilo ohm sebagai pembahagi voltan dan arus. Resistor bernilai 1 kilo ohm perlu disambung bersiri dengan lampu LED untuk menyalakannya.

Pos yang akan datang saya akan menerangkan bagaimanakah nilai resistor dipaparkan.

23 Oktober 2009

Komponen Elektronik

Mari kita tengok apakah komponen-komponen elektronik yang biasa digunakan dan dicari oleh ahli-ahli elektronik. Bagi komponen yang biasa ataupun mesti ada didalam setiap litar elektronik ialah Resistor(Perintang), Kapasitor, Transistor dan IC. Empat komponen ini adalah asas yang biasa digunakan pada setiap projek elektronik. Antara komponen-komponen lain yang agak biasa juga digunakan adalah Diode, Coil, Transformer, LED, Relay dan Sensor. Saya akan menerangkan satu persatu fungsi setiap komponen ini di pos yang akan datang.

19 Oktober 2009

Pengenalan

Diharapkan blog ini akan membantu sesiapa yang berkaitan dengan litar elektronik untuk mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan. Blog ini juga akan menerangkan serba sedikit tentang fungsi asas barangan elektronik dan juga pautan-pautan ke laman web yang berkaitan dengan elektronik. Nantikan di posting yang akan datang.