20 Mac 2014

Raspberry Pi - Komputer terkecil didunia.

Apa Itu Raspberry Pi?

Adakah anda telah mengenali Raspberry Pi?
Sebagai pengenalan, ia adalah sebuah komputer yang boleh dikatakan terkecil yang mempunyai saiz lebih kurang hanya sebesar kad kredit sahaja. Harganya juga sangat berpatutan lebih kurang RM110 sahaja. Oleh kerana saiznya yang kecil dan harganya yang murah, janganlah kita mengharapkan prestasi yang tinggi darinya. Cuma berbaloilah prestasinya dibandingkan dengan harganya. Ianya dibangunkan dengan sistem operasi dan perisian berasaskan Linux Debian. Tetapi janganlah mengharapkan GNOME atau KDE atau yang setaraf dengan mereka. Sistem Operasi Windows juga tidak boleh dipasang kepadanya. Adalah tak masuk akal jika dibandingkan dengan kosnya. Untuk pengendalian yang lancar adalah lebih baik menggunakan sistem operasi yang telah disyorkan untuknya sebagai contoh Raspbian dan yang setaraf dengannya atau yang menggunakan suasana LXDE.

Saiz PCB Raspberry Pi sebesar kad kredit

Kenapa Raspberry Pi dibangunkan?

Tujuan utama pembangunan Raspberry Pi adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar atau sesiapa sahaja tentang bagaimana program komputer dijalankan lalu secara tidak langsung cara memprogramkan komputer dapat dipelajari. Kumpulan yang membangunkan projek Raspberry Pi mahu pengguna bukan hanya tahu menggunakan program atau perisian komputer, tetapi mampu juga untuk mengaturcara program atau perisian sendiri dan kemudian dikongsikan pula dengan penguna-penguna komputer yang lain. Tidak hairanlah Raspberry Pi digunakan dalam pembelajaran di sekolah-sekolah di United Kingdom. Kanak-kanak sejak dari bangku sekolah rendah lagi telah didedahkan dengan pengetahuan komputer. Dengan saiz Raspberry Pi yang kecil dan harganya yang murah, boleh dikatakan sesiapa sahaja mampu untuk memilikinya walaupun kanak-kanak sekolah.

Sistem operasi Raspbian dijalankan pada Raspberry Pi

Disamping penggunaan seperti komputer biasa, terdapat keistimewaan lain yang boleh dimanfaatkan daripada Raspberry Pi. Ia mempunyai beberapa penyambung keluar masuk (I/O) yang boleh digunakan sama ada untuk mengawal alatan elektronik lain, mengawal robot, mengecam suasana, dan berbagai-bagai lagi bergantung kepada kreativiti penggunanya. Sangat berguna kepada ahli-ahli elektronik.

Oleh itu memandangkan ia amat menarik untuk diselidiki, mencari ilmu dan pengalaman melaluinya, saya akan berkongsi pengalaman atau apa sahaja yang berkaitan dengan Raspberry Pi dilaman blog ini nanti. Bolehlah kita sama-sama berbincang mengenainya kelak.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi, forum, komuniti dan sebagainya tentang Raspberry Pi ini boleh merujuk dilaman web rasmi mereka di www.raspberrypi.org/about .