13 Ogos 2023

Kali Linux - Sistem Operasi Untuk Hackers

 Saya pernah membaca yang Kali Linux ini adalah Sistem Operasi yang sesuai digunakan untuk hackers ataupun penggodam. Tak pastilah kebenarannya, tapi aplikasi yang terpasang didalamnya sememangnya sesuai seperti yang dikatakan.

Saya telah cuba memasang Kali Linux versi Arm pada Raspberry Pi 4 2GB. Prestasinya memang baik. Tiada penggunaan yang tersangkut atau hanged.

Berikut adalah beberapa screenshot Kali Linux pada Raspberry Pi 4.



Selamat mencuba.


05 Jun 2023

Membaiki Telefon Pintar(Smartphone) - Siri 1

Membaiki telefon pintar atau smartphone agak rumit kerana sistem hardware yang kecil dan padat. Namun sistem software atau perisian adalah sama seperti membaiki komputer dengan OS Linux.

Ia adalah lebih selesa kerana memerlukan ruang kerja yang kecil berbanding komputer peribadi yang memerlukan ruang yang agak besar.

Kerosakan yang biasa berlaku kepada telefon pintar dan perlu untuk dibaiki adalah tidak boleh boot, hanging, tak boleh caj dan LCD pecah.

Berikut adalah beberapa peralatan yang diperlukan untuk membaiki telefon pintar.

1. Pemutar Skru

2. Pengumpil

3. Penyedut getah bersama gegelang kunci

4. Pelekat B-7000 atau GSE T-7000 

Jika berkaitan dengan pematerian(soldering),

5. Soldering iron dan lead.

6. Blower panas.

Dan jika berkaitan dengan masalah software,

7. Wayar sambungan ke komputer samada micro usb atau USB-C.

8. Komputer peribadi.

Pada siri seterusnya saya akan berkongsi pengalaman membaiki beberapa model telefon pintar Vivo, Xiaomi, Honor dan lain-lain.

 

19 Ogos 2022

Twister OS adalah Sistem Operasi terbaik untuk Raspberry Pi

 Adakah anda pernah mencuba Twister OS?

Setelah mencubanya, pada pendapat saya ia adalah Sistem Operasi(OS) yang terbaik untuk Raspberry Pi. Kenapa? Nampaknya ia memenuhi keperluan applikasi yang diperlukan. Sebagai contoh, Games, Multimedia, Social Media dan lain-lain lagi telah siap dipasang. Kita hanya perlu memilih sahaja apa applikasi yang hendak digunakan.

Selain itu, untuk yang masih tidak biasa dengan sistem Linux, boleh menukar tema kepada Window menggunakan applikasi ThemeTwister. Tersedia juga tema iMac didalamnya. Bagus bukan?

Permainan games Quake Arena pada Twister OS, Raspberry Pi4 2GB tidak menjadi masalah.


Kepada yang meminati Raspberry Pi, apa lagi? Cubalah Twister OS.

Berikut adalah beberapa screenshot dari Twister OS yang dijalankan pada Raspberry Pi4 2GB.




Selamat mencuba.

07 Jun 2021

PdPR lebih murah dengan Raspberry Pi

Selain dari menggunakan komputer riba atau desktop, PdPR juga dapat dilakukan dengan menggunakan komputer kecil Raspberry Pi. Yang dicadangkan adalah Raspberry Pi 4.

Satu sistem lengkap Raspberry Pi 4 dengan memori 4Gb memerlukan modal lebih kurang RM400. Jika mahu yang lebih murah sedikit adalah Raspberry Pi 4 dengan memori 2Gb memerlukan modal lebih kurang RM350.

Haruslah dilengkapkan dengan LCD monitor (jika belum ada) dengan kadar RM400 untuk 19 inci atau RM500 untuk 22 inci.

LCD monitor boleh digantikan dengan LCD TV yang memang telah ada dirumah jika tidak mengganggu sesi menonton. Jadi tidak perlu mengeluarkan kos untuk membeli LCD monitor baru.

Jadi kos untuk PdPR adalah jauh lebih murah.

Perlu diingat bahawa sistem operasi yang digunakan oleh Raspberry Pi adalah berasaskan Linux. Jadi ianya akan berbeza jika sebelum ini kita hanya menggunakan sistem operasi Windows. Namun bukanlah menjadi masalah untuk menjalankan PdPR kerana kita hanya memerlukan talian internet dan beberapa aplikasi yang mudah digunakan.

Jika kita mempunyai bajet yang kecil, Raspberry Pi adalah penyelesaiannya. Yang penting anak-anak kita dapat belajar dengan kemudahah yang baik.

Persediaan peralatan untuk PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah)

Kementerian pelajaran telah mengumumkan bahawa sesi persekolahan akan diteruskan dengan sistem PdPR ataupun Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah.

Apakah peralatan yang perlu  ada untuk meneruskan sistem PdPR ini?

Peralatan yang saya maksudkan adalah tentang peralatan komputer. Saya mengetepikan peralatan PdPR yang menggunakan telefon  bimbit. Ini kerana saya pernah bertanya kepada seorang guru yang melaksanakan sistem PdPR ini tentang apakah peranti yang lebih sesuai untuk digunakan. Dia menjawab bahawa PdPR menggunakan telefon bimbit adalah menyukarkan kerana skrin yang kecil. Jadi dia mencadangkan supaya menggunakan sistem komputer.

Jadi disini saya menyenaraikan beberapa alat yang perlu disediakan untuk mencapai maksud perlaksanaan PdPR  itu.

Untuk yang lebih mudah adalah menggunakan komputer riba. Harga komputer riba yang paling murah dengan kemampuan yang baik adalah sekitar RM2200.

Selain itu sistem komputer desktop berharga sekitar RM1800 namun perlu juga membeli skrin monitor dengan harga sekitar RM400.

Jika ingin lebih murah tetapi menggunakan sistem komputer lama, komputer riba dan desktop terpakai juga boleh didapati samada dari kedai komputer atau boleh juga lihat di laman web mudah.my, lelong.my dan beberapa lagi. Cuma mungkin tiada jaminan dan kita harus tahu sendiri untuk menyelenggarakannya nanti.

Selain dari  komputer, capaian internet juga haruslah baik. Sekurang-kurangnya Unifi standard 30Mb sudah memadai.

Itulah persediaan peralatan asas yang perlu disediakan untuk melaksanakan PdPR nanti. Semoga dengan sistem peralatan yang baik, anak-anak dapat belajar dengan mudah dan berkesan.


21 Disember 2020

Komputer papan tunggal (Single-board computer)

Apakah yang dikatakan komputer papan tunggal?

Komputer papan tunggal atau lebih popular dalam bahasa inggeris Single-board Computer(SBC) atau Sistem on a chip(SOC), adalah komputer yang dimampatkan kedalam satu papan litar kecil, tetapi mempunyai fungsi yang hampir sama dengan komputer peribadi desktop ataupun laptop.

Sebagai contoh sebuah komputer peribadi desktop atau laptop memerlukan, beberapa bahagian untuk dilengkapkan seperti mainboard, pemproses, memori, punca kuasa dan sebagainya. Tetapi komputer papan tunggal tidak memerlukan bahagian-bahagian ini kerana semuanya dipasangkan kepada satu papan litar dan bersaiz sekecil kad kredit.

Tetapi mampukah komputer papan tunggal ini memberi prestasi yang sama seperti komputer peribadi desktop atau laptop?

Ianya bergantung kepada untuk apa penggunaan komputer itu. Sebagai contoh jika digunakan untuk melayari internet, membuat kerja dokumentasi, pemantauan kamera, menyunting gambar, mendengar muzik, menonton video dan beberapa kegunaan ringan lain adalah tidak menjadi masalah kepada komputer papan tunggal.

Tetapi jika digunakan untuk bermain game 3D, mengedit grafik tinggi, menjalankan simulasi tinggi dan lain-lain yang memerlukan kuasa tinggi, buat setakat ini belum lagi ada kemampuan oleh komputer papan tunggal.

Beberapa contoh komputer papan tunggal adalah Raspberry Pi, Arduino, Asus Tinkerboard dan banyak lagi.

Harga komputer papan tunggal adalah jauh lebih murah daripada komputer peribadi desktop ataupun laptop sehingga lebih kurang 10 kali ganda.

Oleh kerana kosnya berpatutan, adalah tidak menjadi satu kerugian jika kita mencuba komputer papan tunggal samada sebagai percubaan ataupun terus digunakan mengikut kesesuaiannya.

11 Disember 2020

Raspberry Pi OS versi terbaru 2 Disember 2020

Apakah pembaharuan yang terdapat pada Raspberry Pi OS versi 2 Disember 2020?

Setelah dipasang, terdapat beberapa pilihan baharu yang ditambah pada antaramuka Raspberry Pi Configuration.

Berikut adalah contoh pilihan terbaru.



Jika dilihat pada antaramuka Performance, terdapat pilihan untuk Fan. Jadi jika anda menggunakan kotak terbaharu Raspberry Pi 4, anda boleh mengetiknya disini untuk menghidupkan kipas.

Dengan tambahan antaramuka Raspbery Pi Configuration baru ini, kita tidak perlu lagi menjalankan arahan daripada terminal. Antara yang biasa digunakan melalui terminal seperti Splash Screen, Screen Blanking dan juga GPU Memory.

Selamat mencuba Raspberry Pi OS terbaru.


10 Disember 2020

Raspberry Pi 4 lcd monitor tiada gambar

Mungkin ada yang pernah mengalami masalah dengan Raspberry Pi 4 yang tidak keluar gambar pada LCD Monitor skrin kecil. Contohnya pada skrin 19 inci. Namun gambar dapat dikeluarkan pada skrin yang lebih besar. Ataupun jika sistem operasi dipasangkan kepada Raspberry Pi 3 dan versi sebelumnya.

Masalah ini boleh diatasi dengan mengolah fail config.txt yang terdapat pada folder /Boot. Untuk situasi yang saya alami adalah LCD Monitor Acer 19 inci dengan menggunakan kabel pengalih HDMI ke DVI. Bermaksud ianya adalah dalam mode DVI tanpa audio.

Olah file /Boot/config.txt dengan menambahkan,

hdmi_group=2

hdmi_mode=87

hdmi_cvt=1360 768 60

1360 768 60 adalah resolusi yang boleh diterima oleh LCD Monitor Acer 19 inci saya. Jadi adalah perlu untuk anda menyemak resolusi yang boleh diterima oleh LCD Monitor anda lalu mengubah nilai diatas mengikut kesesuaiannya.

Untuk kesesuaian boleh semak disini.

Selamat mencuba.

09 Disember 2020

Fungsi resistor didalam litar elektrik

Ada yang google soalan ini. Saya rasa soalan yang sepatutnya adalah fungsi resistor didalam litar elektronik. Kerana resistor lebih banyak digunakan didalam litar elektronik daripada litar elektrik. Untuk elektrik lebih melibatkan voltan dan arus yang tinggi, penggunaan resistor adalah kurang. 

Jadi melalui pengalaman saya, bolehlah saya perjelaskan tentang penggunaan resistor didalam litar elektronik.

Saya pernah juga mengajukan soalan ini kepada seorang pereka litar elektronik. Apakah jawapan yang diberi?

Fungsi resistor  adalah untuk menyeimbangkan voltan dan arus didalam sesuatu litar. Saya rasa jawapan itu agak lebih profesional dan membuatkan saya untuk berfikir mengenainya.

Biasanya jawapan yang popular adalah resistor berfungsi sebagai pembahagi voltan. Ataupun sebagai penapis(filter) frekeunsi. Dan ada beberapa jawapan yang jarang seperti resistor berfungsi sebagai pembeban(load), ataupun sebagai pembuang cas, juga boleh jadi sebagai fius, juga menghadkan arus.

Apa yang lebih penting adalah kita memahami fungsi sesuatu litar. Dengan secara tidak langsung kita akan mengetahui fungsi resistor didalam sesuatu litar itu.

 


22 April 2020

Antena dari tin minuman aluminium

Mungkin ada yang tahu bahawa tin minuman aluminium boleh dimanipulasi menjadi antena tv ataupun radio. Ini kerana bahan buatan tin iaitu aluminium adalah merupakan bahan pengalir yang baik dan kosnya adalah murah. Aluminium adalah bahan pengalir terbaik selepas tembaga. Kebanyakan antena diperbuat daripada aluminium.
Kos pembuatan daripada aluminium adalah lebih murah berbanding dengan tembaga ataupun perak. Perkara kedua pembuatan dari aluminium adalah ianya anti oksidan dan anti karat. Memandangkan kedudukannya yang biasa diletakkan dibumbung-bumbung rumah.

Jadi kita boleh mencuba untuk menggunkan tin minuman yang diperbuat dari aluminium sebagai bahan untuk membuat antena.

Ambil tin minuman aluminium yang telah kosong dan dikeringkan.
Potong dibahagian tengah menjadi dua bahagian.
Tebuk lubang kecil untuk dimasukkan wayar antena coaxial kemudian dipaterikan. Tidak perlu memateri ke tin aluminium, cuma pateri pada wayar dan membuatnya tersentuh dan lekat pada lubang kecil yang ditebuk tadi.
Lekatkan pada dinding atau tingkap (menghala ke arah pemancar siaran yang terdekat).
Pasang pada tv, tala, dan lihat penerimaan siaran.

Penerimaan siaran digital seperti myFreeview adalah lebih mudah berbanding dengan siaran analog sebelum ini.

Selamat mencuba.

Contoh gambar antena dari tin aluminium.

07 April 2020

Bateri CMOS CR2032 Mainboard Kering


Apa yang berlaku jika bateri CMOS CR2032 kering?

Jam dan kalendar tidak mengikut masa dan haribulan yang telah ditetapkan setiap kali suis AC 240 volt ke komputer(CPU) ditutup(OFF). Ianya sentiasa akan reset ke masa dan haribulan semasa BIOS dilancarkan. Jika mainboard dikeluarkan pada tahun 2000, ia akan disetkan ke tahun 2000.

So macamana nak buat ni? Nak pergi beli, PKP pulak. Oh ya, saya masih ada banyak stok bateri AAA 1.5volt.
Kita boleh gunakan bateri AAA dua biji untuk menggantikan bateri CMOS yang dah kering.

Ambil dua biji bateri AAA atau AA 1.5volt dan solderkan seperti gambar. Bateri disambung bersiri. 

Lepas tu pasang ke mainboard seperti gambar.
Ambil double side tape dan gamkan ke bahagian yang tiada komponen di mainboard.

So settle masalah bateri CMOS kering. Jam dan kalendar tidak akan reset lagi sehinggalah bateri AAA 1.5v juga kering.

(artikel ini juga diletakkan dimukasurat Manipulasi(Hack))

26 Jun 2019

Raspbian Buster untuk Raspberry Pi 4

Raspbian Buster adalah OS terbaru Raspbian yang dibangunkan khas untuk dilancarkan bersama dengan pelancaran Raspberry Pi 4. Jurutera Raspberry Pi merasakan adalah perlu dibangunkan OS yang baru agar pengguna Raspberry Pi 4 merasai kelainan modul yang baru. Jika modul baru tetapi OS masih yang lama, pasti pengguna merasa seolah-olah sama sahaja seperti modul yang lama. Sungguhpun begitu, OS Raspbian Buster masih mendukung pemasangan di modul yang lama dari versi Raspberry Pi 1 sehingga Raspberry Pi 4. Saya telah memasang OS Raspbian Buster pada Raspberry Pi 3 B+ rasa seperti ada sedikit kecekapan telah ditingkatkan. Apapun pasti Raspberry Pi 4 yang dipasang Raspbian Buster lebih cekap lagi kerana pemproses dan memori versi baru yang telah dipertingkatkan untuknya.
Berikut adalah beberapa screenshot Raspbian Buster yang saya pasangkan kepada Raspberry Pi 3 B+.








25 Jun 2019

Raspberry Pi 4 Telah Dilancarkan

Berita yang amat mengujakan yang mana Raspberry Pi 4 telah dilancarkan pada 24 Jun semalam. Apa yang mengejutkan adalah kerana CEO Raspberry Pi, Eben Upton telah menyatakan bahawa tidak akan ada pelancaran model terbaru sehingga tahun 2020. Nampaknya mereka telah mendahului jadual yang mana Raspberry Pi 4 dapat dilancarkan lebih awal dari masa yang sepatutnya. Melihat kepada spesifikasi model terbaru ini, ianya amat menarik kerana ianya semakin setanding dengan PC desktop. Boleh lihat spesifikasinya disini.
Nampaknya saya terpaksa membelinya dahulu untuk membuat ulasan yang seterusnya. Kepada yang teruja bolehlah memesannya disini.
 
Foto Raspberry Pi 4 dari laman Raspberry Pi

Foto spesifikasi Raspberry Pi 4 dari laman Raspberry Pi
 

15 Mei 2019

Raspberry Pi 3 B+ - Kini lebih pantas

Kemunculan Raspberry Pi 3 B+ dengan pemproses Quad Core 64bit 1.4GHz nampaknya telah mampu untuk menggantikan PC desktop yang digunakan untuk kerja-kerja komputer harian. Mungkin ramai yang agak sangsi dengan kenyataan ini. Namun spesifikasi yang ada sekarang adalah sama dengan spesifikasi minima yang diperlukan untuk menjalankan Windows7 jika bercakap tentang sistem komputer peribadi desktop. Namun pemproses ARM yang digunakan Raspberry Pi bukanlah dicipta untuk menjalankan sistem operasi Windows, cuma jika hendak dibandingkan spesifikasinya adalah munasabah. Sebagai contoh Windows7 memerlukan minima pemproses 1GHz dan memori 1GB. Jadi spesifikasi terbaru Raspberry Pi 3 B+ ini adalah setanding jika menjalankan sistem Windows7. Jika kita menukarkan sistem PC yang ada sekarang kepada Raspberry Pi, ianya tidak lagi menjadi masalah malah ia lebih menjimatkan wang, ruang dan lain-lain kelebihan lagi.
Tahukah anda apakah sistem operasi yang khusus dibangunkan untuk pemproses ARM? Ia bukanlah Raspbian kerana ianya berasaskan Linux Debian. Cuma ia mudah digunakan kerana paparan desktopnya dan penggunaannya adalah seakan-akan Windows. Sistem operasi yang sepatutnya untuk pemproses ARM adalah RISCOS yang sememangya khusus dibangunkan untuk pemproses ARM. Namun ianya terlalu kekok untuk digunakan kerana terlalu berbeza samada dengan Windows ataupun Linux. Cuma jika kita mencuba RISCOS kita dapat merasakan kepantasannya setanding jika kita menggunakan Windows pada pemproses Intel atau AMD. Di samping itu, sistem operasi Raspbian yang berasaskan Linux Debian telah dibangunkan khusus untuk Raspberry Pi dan ianya juga kini semakin mampu untuk menjalankan kerja-kerja komputer harian kita. Sama seperti kita menjalankan kerja-kerja komputer harian kita menggunakan sistem Windows ataupun Linux.

14 Mei 2019

Raspberry Pi - Membuang aplikasi dan menjimatkan ruang SD

Setelah kita memasang OS Raspbian pada kad SD, pasti terdapat beberapa aplikasi yang kita tidak akan menggunakannya. Namun ianya tersedia didalam OS Raspbian mengikut citarasa jurutera perisian Raspberry Pi. Jika dilihat dari segi penggunaan Raspberry Pi, ianya biasa ditetapkan untuk sesuatu fungsi. Contoh adalah seperti sebagai server, pengesan suhu atau cuaca, pengawal robot dan sebagainya. Jadi beberapa aplikasi yang telah tersedia pasti tidak akan digunakan langsung apabila penggunaan Raspberry Pi telah ditetapkan. Kecualilah kita akan menggunakannya sebagai Desktop. Beberapa aplikasi akan kita gunakan namun begitu masih juga ada aplikasi yang akan dibiarkan sahaja. Untuk lebih mempercepatkan tugas dan sekaligus menjimatkan ruang pada kad SD, adalah lebih baik aplikasi yang tidak digunakan ini dibuang sahaja. Sebagai contoh dibawah adalah beberapa aplikasi yang tidak saya gunakan setelah memasang OS Raspbian. Lalu saya membuang aplikasi-aplikasi ini. Ruang yang dapat saya jimatkan adalah hampir 3GB. Dan apabila saya shrink dan menyimpan kembali OS itu ianya telah kurang daripada 4GB. Jadi proses menyimpan dan memasang semula OS juga dapat dikurangkan.

Berikut adalah aplikasi-aplikasi itu dan cara untuk membuangnya dari OS Raspbian.

Wolfram
LibreOffice
Scratch
Scratch 2
Minecraft –pi
Geany
Chromium –browser
Chromium
Python3 –thonny
Sense hat emulator

Cara untuk membuang aplikasi-aplikasi ini adalah dengan menjalankan arahan pada  terminal,

$ sudo apt-get purge 'nama aplikasi seperti diatas' 
 
atau

$ sudo apt-get remove 'nama aplikasi seperti diatas' 
 
Kemudian jalankan

$ sudo apt-get clean 
 
Jumlah ruang untuk semua aplikasi diatas adalah 3 Gbyte.

Raspberry Pi dan LCD 3.5 XPT2046

Bagaimana hendak mengaktifkan LCD 3.5 inci XPT2046 pada Rapberry Pi dengan cara yang mudah. Tidak perlu install driver, hanya setkan di Raspberry Pi sahaja dengan menggunakan beberapa command dan script. 

LCD 3.5 inci XPT2046

Setelah OS Raspbian ditulis pada kad SD/microSD, bootkan Raspberry Pi dan HDMI display akan memaparkan OS Raspbian. Setkan apa yang dianjurkan. Setelah selesai iaitu selepas reboot,
1. Aktifkan SPI interface terlebih dahulu,
pada terminal jalankan,
$ sudo raspi-config
pergi ke, Interfacing Options -  SPI - Yes - Ok 
2. Kemudian buka terminal dan edit,
$ sudo nano /boot/config.txt
dibawah sekali tambahkan,
dtoverlay=piscreen,speed=16000000,rotate=90
save config (ctrl+x, y, enter)
3. Kemudian edit,
$ sudo nano /usr/share/X11/xorg.conf.d/99-fbturbo.conf
lihat pada, Option     “fbdev” “/dev/fb0”
tukarkan fb0 kepada fb1, contoh, Option      “fbdev” “/dev/fb1”
save conf (ctrl+x, y, enter)
$ reboot

Apabila restart, LCD akan aktif dan HDMI display akan blank.
Anda sudah boleh menggunakan LCD 3.5 inci XPT2046.
Untuk mengaktifkan kembali HDMI display, tukar semula “fb1” kepada “fb0”.
Apabila restart HDMI display akan diaktifkan.

LCD 3.5 inci telah aktif

Cara ini telah dicuba pada semua versi Raspberry Pi.
Os yang digunakan adalah 2019-04-08-raspbian-stretch.

29 April 2019

Xfce Muslim Edition Untuk Raspberry Pi

Jika sebelum ini kita memasang aplikasi Islamik pada Raspbian, bagaimana pula jika ianya dipasang pada Xfce? Dengan prestasi yang lebih pantas, adalah berbaloi mencubanya pada Xfce.
Saya menamakannya RpixMe iaitu Raspberry Pi Xfce Muslim Edition. Raspberry Pi dipasang dengan desktop Xfce4 dan aplikasi Islamik. Ianya nampak lebih hebat. Lain-lain aplikasi adalah sama seperti RaspbianMe.
Mari kita lihat beberapa paparan skrin desktop.

1. Paparan skrin desktop
 2. Beberapa aplikasi Islamik
3. Aplikasi Zekr
4. Aplikasi Minbar

Jika anda perasan logo Raspberry pada Menu adalah berwarna hijau. Ianya adalah untuk membezakan edisi Muslim.

28 April 2019

Raspbian Muslim Edition untuk Raspberry Pi

Raspbian Muslim Edition atau RaspbianMe adalah OS Raspbian untuk Raspberry Pi yang dipasangkan dengan beberapa aplikasi Islamik. Ianya masih dalam proses ujian pembuatan. Mengambil inisiatif daripada pembuatan sistem operasi Sabily untuk komputer peribadi sebelum ini, sistem operasi Islamik untuk SOC juga harus ada. Untuk sementara ini hanya tertumpu kepada SOC Raspberry Pi.


Contoh aplikasi Islamik yang telah dipasangkan adalah seperti,
Zekr - Aplikasi bacaan Al-Quran dan terjemahan.
Othman - Aplikasi bacaan Al-Quran.
Minbar - Aplikasi waktu solat.
Hijri Calendar - Kalendar Hijrah Islam.
Monajat - Bacaan doa yang keluar mengikut tetapan waktu.
Noor - Aplikasi pembacaan Al-Quran.

Disamping itu beberapa applikasi asas yang terdapat pada OS Raspbian dikekalkan.

Adakah anda berminat dengan projek ini?

19 November 2018

Raspberry Pi USB Boot

Mungkin ada yang terfikir samada kita boleh boot OS untuk Raspberry Pi melalui USB. Jawapannya jika hanya menggunakan pemacu USB adalah tidak boleh. Namun kita boleh boot dahulu menggunakan kad micro sd kemudian menjalankan sistem operasinya melalui pemacu USB. Maknanya boot melalui sd dan root melalui pemacu USB. Kenapa nak root menggunakan pemacu USB? Kalau mengikut apa yang saya fikirkan,
1. Pemacu USB biasa digunakan di mana-mana PC. Namun micro sd memerlukan adaptor untuk digunakan di kebanyakan PC.
2. USB speed adalah lebih laju dari micro SD. Maximum untuk SD adalah 10Mb/s namun USB 2.0 adalah 60Mb/s.
3. Kita hanya perlukan saiz micro SD yang kecil sahaja untuk boot.
Oleh itu apa yang saya lakukan adalah memasang OS Raspbian Lite kepada 2Gb micro SD kemudian memasang OS bersaiz besar yang lain kepada pemacu USB, sebagai contoh Rasbian Desktop kepada pemacu USB 8Gb.
Bagaimana melakukannya?
Setelah Raspbian Lite dipasang kepada 2Gb micro SD dan Rasbian Desktop dipasang kepada pemacu USB 8Gb, pasangkan kedua-duanya ke Raspberry Pi dan jalankan sistem. Login ke Rasbian Lite kemudian edit file cmdline.txt menggunakan Nano editor melaui command, sudo nano /boot/cmdline.txt. Tukarkan root=xxxxx kepada root=/dev/sda2. Sda2 adalah root pada pemacu USB. Kemudian save dan exit. Kemudian reboot Raspberry Pi. 
Selepas boot, ia akan bertukar ke root pada pemacu USB. Kerja akan menjadi lebih cepat berbanding dengan root pada pemacu kad micro SD.

04 November 2018

Proton Infotainment - Projek Alat Info dan Hiburan Raspberry Pi

Proton Infotainment adalah projek berasaskan Raspberry Pi yang dibangunkan sebagai alat pemain informasi dan hiburan didalam kereta. Oleh kerana saya memiliki kereta Proton, jadi saya menggolahnya dengan logo Proton.
Namun begitu ia bukanlah hanya boleh digunakan didalam kereta. Ia boleh digunakan dimana-mana sahaja samada kenderaan, rumah atau tempat perniagaan.
Diasaskan dari sistem operasi Kodi, antaramukanya diolah mengikut kesesuaian yang saya inginkan.
Jika anda memiliki Raspberry tidak kira versi, anda boleh menjalankan sistem Proton Infotainment ini dan mengawalnya dengan menggunakan tetikus atau papan kekunci.
Sungguhpun saya telah membangunkan pengawalan dengan menggunakan butang suis atau skrin sesentuh, namun saya tidak dapat melancarkannya untuk kegunaan umum buat masa ini. Ia mungkin dilancarkan pada versi yang akan datang.
Jika anda berminat untuk mencuba projek ini, bolehlah menghubungi saya untuk mendapatkan fail imej.
Berikut adalah beberapa gambar Proton Infotainment.

Antaramuka Menu
Antaramuka Settings
 Antaramuka Music